LONDON - Kaka yakin Real Madrid sedang membentuk sebuah skuad yang mampu menyingkirkan Barcelona pada perebutan kejuaraan Liga Sepanyol musim depan.
Bintang Brazil itu telah diumumkan secara rasmi sebagai pemain pertama yang tiba dalam era baru skuad The galacticos itu kelmarin.
Selain Kaka yang dibeli dengan harga £62 juta (RM463.2 juta), projek baru presiden Florentino Perez itu turut menyaksikan pembelian rekod baru dunia, £80 juta (RM461.1 juta) ke atas Cristiano Ronaldo, £30 juta (RM172.8 juta) ke atas Karim Benzima dan £13 juta (RM74.9 juta) ke atas pertahanan Valencia, Raul Albiol.
Manakala pemain bintang lain seperti Franck Ribery, David Villa dan Xabi Alonso terus dikaitkan oleh media dengan perpindahan ke kelab gergasi Sepanyol itu.
Ketika ditanya sama ada Real mampu memberi cabaran kepada Barca musim depan, Kaka berkata: "Ya, itulah projek yang Florentino Perez rancangkan kepada kami iaitu menewaskan Barcelona musim depan.
"Mereka memang layak memenangi kejuaraan treble, namun Real akan menjadi satu pasukan yang kuat musim depan di Eropah dan juga Sepanyol."
Bekas Pemain Terbaik Dunia berusia 27 tahun itu juga sedar bahawa mempunyai sekumpulan pemain yang berbakat sahaja masih belum cukup untuk menghadiahkan kejayaan.
"Pengalaman saya dalam bola sepak mengajar saya bahawa bakat saja masih belum cukup untuk berjaya," kata Kaka.
"Saya telah berjumpa ramai pemain berbakat tapi masih belum berjaya manakala ada pula pemain yang kurang berbakat tapi berjaya menjadi juara.
"Sesuatu yang lebih penting perlu ada dalam diri seseorang pemain berbakat itu ialah mereka sanggup berkorban untuk merealisasikan satu impian yang sama." - Agensi
0 comments:
Post a Comment