Lyon jual Benzema RM173 juta

Friday, July 3, 2009
LYON - Lyon akhirnya bersetuju melepaskan penyerang Perancis, Karim Benzema ke Real Madrid dengan harga £30 juta (RM173 juta).

Benzema akan menandatangani kontrak selama enam tahun dengan gaji sekitar £100,000 (RM576,056) seminggu. Harga perpindahan pula dinaikkan kepada £35.2 juta (RM202.8 juta) berserta dengan bonus berdasarkan prestasi semasa.

Real turut mengesahkan perjanjian itu telah dicapai sambil menambah Benzema akan menjalani ujian perubatan sedikit masa lagi.

"Lyon menerima keputusan Karim Benzema dan telah berbincang tentang syarat-syarat perpindahan yang memuaskan hati kedua belah pihak," kata kenyataan Lyon.

"Kelab ini mengucapkan selamat berjaya kepada Karim bersama Real Madrid."

Kelab gergasi Sepanyol itu berdepan persaingan sengit daripada Manchester United untuk mendapatkan Benzema, 21, yang dianggap antara pemain muda paling menyerlah di Eropah.

Dia menjadi pemain keempat dibeli oleh Real selepas Kaka dari AC Milan, Cristiano Ronaldo dari Manchester United dan Raul Albiol dari Valencia.

Penyerang muda Perancis ini meledakkan 30 gol buat Lyon pada musim 2007-08, namun gagal memberi impak pada Kejuaraan Euro 2008 di mana Perancis tersingkir di peringkat kumpulan.

Di peringkat kempen Liga Juara-Juara pula, Benzema membuktikan ketajamannya apabila menyumbang 12 gol dari 19 perlawanan. - AP

Nistelrooy ganti Benzema di Lyon?

MADRID - Lyon berhasrat untuk mendapatkan penyerang Real Madrid, Ruud Van Nistelrooy sebagai pengganti kepada Karim Benzema yang bersetuju menyertai kelab gergasi Sepanyol itu kelmarin.

Lyon pada mulanya berminat dengan seorang lagi penyerang, Klaas-Jan Huntelaar yang juga diburu oleh AC Milan, namun dia enggan menyertai kelab Perancis itu.

Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas kemudian meminta rakan sejawatnya di Real, Florentino Perez memujuk Van Nistelrooy agar menyertai kelab tersebut.

Penyerang berusia 33 tahun yang berpindah ke Real pada musim panas 2006 itu bagaimanapun berkata dia lebih suka untuk terus tinggal di Bernabeu.

Begitupun, tempatnya di Santiago Bernebeu kini semakin terdesak ekoran kehadiran bintang AC Milan, Kaka dan bekas penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo.

Dalam masa yang sama, masalah kecederaan yang menimpa Nistelrooy sejak November 2008 memberi kesukaran kepadanya untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Real.

Untuk rekod, dia telah meledak 45 gol bersama Real sejak empat musim menyertai kelab itu. – AFP.

0 comments:

Post a Comment